10 tips supaya anak cepat pandai membaca. Sekiranya anda menyedari anak anda lambat membaca berbanding rakan sebaya, jangan diabaikan sahaja mereka. Ini kerana, semakin meningkat usia anak-anak itu, semakin sukar untuk mereka belajar membaca. Oleh itu, pendidikan awal adalah sangat penting bagi mereka. Semoga tips ini bermanfaat pada ibu bapa diluar sana, inshaAllah.
1) Peruntukkan masa tetap setiap hari untuk membaca pada anak
Kajian mendapati bahawa membacakan buku pada anak setiap hari boleh meningkatkan pemahaman anak dan membolehkan anak menangkap kosa kata atau beberapa perkataan yang rumit. Selain itu, dengan membacakan buku pada anak-anak, ia boleh mencetus sifat kreativiti dan minat mereka untuk membaca.
Tidak kira sama ada anak anda masih belum bersekolah atau sudah meningkat remaja, cara ini boleh meningkatkan keinginan anak untuk membaca dengan sendiri.
Kita sering melihat orang barat gemar membacakan buku cerita fantasi atau cerita kanak-kanak pada anak mereka sebelum tidur. Apa kata kita pula mengaplikasikan cara ini pada anak kita pula.
Bezanya, sebelum mereka tidur, kita bacakan ayat al-Quran mudah atau doa tidur, dituruti dengan membacakan kisah Nabi dan Rasul pada mereka. Disamping boleh menggalakkan mereka pandai membaca, kita juga boleh mengajar mereka kisah teladan dan sejarah Nabi.
Selain itu, tahukah anda, antara perkara yang boleh meninggalkan kesan dalam ingatan anak-anak adalah membacakan mereka buku! Rujuk artikel ini untuk bacaan lanjut: 10 Perkara Yang Meninggalkan Kesan Dalam Ingatan Anak.
2) Besarkan anak dalam persekitaran yang penuh dengan bahan bacaan
Kanak-kanak yang dibesarkan di rumah yang mempunyai sumber bahan bacaan yang banyak didapati lebih cemerlang dalam pelajaran. Galakkan anak anda membaca dengan melengkapkan rumah anda dengan pelbagai jenis bahan bacaan seperti majalah, komik dan buku.
Lebih elok sekiranya wujudkan perpustakaan kecil di rumah, atau letakkan bahan bacaan di sekeliling anak anda seperti dalam bilik tidur, ruang tamu ataupun dalam kereta!
3) Adakan waktu membaca keluarga
Wujudkan waktu membaca keluarga yang tetap. Sebagai contoh, setiap Jumaat malam, anda sekeluarga menetapkan satu jam dimana semua orang membaca bersama-sama dalam keadaan senyap.
Dengan melihat anda membaca, anak anda juga akan terdorong untuk membaca. Hanya 15 minit setiap hari pun memadai bagi meningkatkan tahap kelajuan pembacaan anak anda.
4) Galakkan pelbagai aktiviti membaca yang menarik
Jadikan membaca itu sebahagian daripada hidup anak anda. Galakkan mereka membaca menu makanan di restoran, papan tanda atau iklan di tepi jalan, tajuk rancangan kegemaran mereka atau apa sahaja informasi yang praktikal.
Anda juga boleh memberikan apa sahaja bentuk bacaan diwaktu lapang mereka sementara mereka menunggu temujanji doktor gigi atau dalam perjalanan menaiki keretapi.
Pelbagaikan bahan atau sumber yang boleh membantu mereka cepat belajar seperti flashcard, permainan atau ipad apps yang sesuai. Dengan cara ini, anak anda akan lebih teruja untuk belajar membaca sekaligus menarik minat mereka.
5) Menanam kebiasaan untuk ke perpustakaan
Terimbau kenangan saya semasa zaman kanak-kanak dahulu. Dahulu, kami tidak mempunyai kereta, jadi, jika mahu kemana-mana kami akan menaiki bas. Teringat kesusahan ibu saya membawa kami tiga beradik yang masih kecil ke perpustakaan seminggu sekali.
Tidak kira apa jua keadaan, perpustakaan menjadi tempat wajib kami kunjungi setiap minggu. Sewaktu cuti sekolah, ibu memilih untuk menghantar kami ke perpustakaan setiap hari. Di penghujung hari, selepas pulang dari pejabat barulah ibu menjemput kami. Meletihkan dan kami juga tidak dapat pergi bermain. Tetapi dengan cara tersebut, kami lebih berminat untuk membaca berbanding aktiviti lain.
6) Pantau setiap perkembangan anak anda
Ketahui secara terperinci setiap perkembangan anak anda. Dapatkan maklumat dari guru di sekolah berkenaan sejauh mana perkembangan yang anak anda tonjolkan di sekolah. Kenalpasti kemahiran membaca yang sepatutnya mengikut peringkat umur.
Kebanyakan ibu bapa gemar meletakkan sepenuhnya tanggungjawab mengajar anak mereka di bahu guru di sekolah tanpa mengambil tahu perkembangan anak mereka sendiri.
Hakikatnya, itu adalah perbuatan yang salah! Sesi pembelajaran dan pengajaran tidak sepatutnya berlaku hanya disekolah. Ia sepatutnya bermula dari rumah. Ibu bapalah pendidik terawal dan utama bagi anak mereka.
Pembelajaran di sekolah hanya untuk perkara yang tidak mampu diajar oleh ibu bapa di rumah. Apalah gunanya anda belajar tinggi sehingga ke peringkat Ijazah dan Doktor Falsafah jika anak anda sendiri diajar oleh pembantu rumah Indonesia yang tidak pernah bersekolah.
Kenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak anda semasa proses membaca. Mungkin, anak anda tidak boleh menyebut suatu huruf dengan betul. Mungkin, dia sendiri tidak faham apa yang dia baca.
Dan mungkin juga anak anda keliru dengan huruf-huruf yang ada. Kenalpasti masalah ini dan dapatkan kerjasama dari guru di sekolah sekiranya anda tidak tahu cara terbaik untuk menanganinya.
7) Jujur pada diri dan letakkan sasaran yang realistik
“Saya mahu anak saya pandai membaca dalam masa satu bulan!”. Sekadar berimpian tidak boleh menyebabkan anak anda membaca dengan cepat. Jujur pada diri, dan letakkan matlamat yang realistik. Hanya anda mengetahui sejauh mana potensi dan tahap perkembangan anak anda.
Anda boleh meletakkan matlamat seperti ‘berusaha melatih anak membaca 15 minit setiap hari’ atau ‘menggalakkan anak membaca tiga buah buku sebulan’. Apa sahaja matlamat mengikut kemampuan anak anda.
Terlalu mendesak anak mencapai matlamat yang anda tetapkan sendiri bukan sahaja menyebabkan anak tertekan, malah boleh meragut minat mereka untuk membaca. Jadikan membaca ini suatu perkara yang menyeronokkan, bukan merunsingkan.
8) Memberi galakkan dan motivasi, bukan merendahkan
“Anak saya membaca terlalu perlahan”. Antara keluhan yang sering diluahkan oleh ramai para ibu. Tidak mengapa untuk anak anda membaca lambat. Setiap anak-anak mempunyai keupayaan belajar yang berbeza. Ada yang cepat dan ada yang lambat.
Jangan sesekali membanding-banding anak anda dengan anak orang lain – lebih-lebih lagi dihadapannya. Dikuhatiri, semangat dan minatnyanya untuk belajar hilang sedikit demi sedikit.
Jangan terlalu bimbangkan selaju manakah anak anda membaca. Sebaliknya, tumpukan lebih perhatian pada bagaimana anak anda menyebut sesuatu perkataan dengan tepat dan betul.
Jangan terlalu memberi tekanan pada anak anda supaya laju membaca. Lebih baik sekiranya anda boleh membantunya mengingati apa yang dia baca sebentar tadi. Sebagai contoh, anda boleh menulis beberapa perkataan atau melukis sesuatu yang menggambarkan apa yang berlaku. Dengan cara ini, minat anak anda untuk membaca boleh bercambah hari demi hari.
Reaksi dan respon dari anda mempunyai pengaruh yang besar dalam menggalakkan anak anda membaca. Pastikan anda memuji dengan ikhlas setiap usaha mereka. Sekali sekala, hadiahkan barang impian mereka untuk mengiktiraf segala usaha mereka dan membuatkan mereka rasa dihargai. Ingat, usaha yang kecil tetapi diamalkan setiap hari boleh menyumbang pada kejayaan yang besar dikemudian hari.
9) Berkongsi kesusahan dan cabaran anda dengan anak-anak
Anak anda tidak mahu membaca? Fahami perasaan mereka. Kebiasannya apabila sesuatu perkara tersebut dianggap terlalu sukar untuk dilakukan, ditambah lagi dengan tekanan pelbagai pihak termasuk guru di sekolah dan ibu di rumah, anak anda seringkali memilih untuk tidak melakukannya lansung!
Kongsikan pada anak anda apa jua perkara yang anda tidak pandai atau menghadapi masalah untuk melakukannya. Akui padanya, sebagai manusia biasa, tidak mengapa untuk tidak pandai – asalkan berusaha dan mencuba.
10) Raikan setiap kejayaan dan usaha
Paling penting, raikan setiap kejayaan dan usaha anak anda – setiap satu kejayaan! Jangan hanya bergantung pada kad kemajuan sekolah anak anda untuk meraikannya..
No comments:
Post a Comment