Tuesday, December 28, 2010

Rahsia semakin hari semakin sayang

Gaya hidup moden yang mewah, sibuk dan terdedah kepada pergaulan bebas ada kalanya boleh menimbulkan krisis rumah tangga hingga berlaku perceraian.

Laporan khas ini mendedahkan mengenai punca-punca perceraian termasuk suami isteri curang, pengaruh laman sosial di Internet dan jahil agama.

Namun, cukup mengkagumkan apabila ada kalangan pasangan yang mampu mempertahankan ikatan suci mereka hingga mencecah lebih 20 tahun dan terus kekal bahagia.

Sebenarnya, setiap pasangan mampu melakukan begitu asalkan mereka memahami tanggungjawab masing-masing.

Antara tips yang perlu diketahui ialah dengan memahami bahawa keluarga adalah amanah Allah di samping memantapkan diri dengan ilmu agama serta melakukan persediaan rohani, fizikal dan mental untuk hidup berumah tangga.

Bagi pasangan Azmi Abdul Malek, 51, dan Siti Zabidah Setia, 51, suami isteri seharusnya sentiasa berikhtiar untuk melakukan sesuatu yang terbaik agar Allah memberi ganjaran dan rumah tangga sentiasa dirahmati.

Menceritakan kisah rumah tangga mereka, kedua-duanya melangsungkan perkahwinan pada 1982 selepas tiga tahun berkenalan ketika menuntut di Universiti Malaya.

Bagi pasangan 'cinta kampus' ini, mengekalkan hubungan selama 28 tahun bukanlah sesuatu yang mudah khususnya dalam tempoh 10 tahun pertama perkahwinan.

Ketika melalui fasa 'permulaan' itu, mereka berdua sering dihimpit masalah kerana terpaksa menanggung perbelanjaan keluarga yang semakin bertambah bagi membesarkan lima anak yang masih kecil.

Ketika itulah kedua-duanya membuktikan diri masing-masing sebagai pasangan yang bertanggungjawab dengan banyak bersabar serta tidak memperbesar-besarkan perselisihan faham yang sering timbul antara mereka.

"Petuanya ialah kena banyak bersabar, bertenang dan paling penting ialah bertolak ansur.

"Selain itu, banyakkan muhasabah diri dan jadikan anak-anak sebagai pengikat kasih sayang" kata Azmi yang bertugas sebagai Ketua Komunikasi Korporat, Kementerian Sumber Manusia.

Berkat kesabaran dan tolak ansur tersebut, lima anak Azmi dan Zabidah iaitu tiga lelaki dan dua perempuan berusia 13 hingga 26 tahun kini telah berjaya dalam bidang masing-masing yang mana empat daripadanya adalah lulusan ijazah.

Namun dalam usia perkahwinan yang semakin meningkat, Azmi mengakui, perasaan malu untuk berlaku romantik terhadap isteri seperti ketika 'zaman bercinta' mula timbul disebabkan anak-anak sudah dewasa.

"Masa mula kahwin dulu jalan berpegangan tangan tetapi sekarang kurang sikit sebab malu dengan anak-anak, tapi saya tetap berpegangan tangan atau peluk pinggang isteri apabila menyeberangi jalan ketika anak-anak tidak ada di sisi kami.

"Malah kalau nak tidur saya sering bisikan kepada isteri yang saya sayangkan dia dan bila balik daripada berjalan jauh saya cium pipi isteri," katanya yang mengakui amalan itu adalah antara faktor kebahagiaan rumah tangganya.

Sebagai seorang yang sudah 'lali' dengan asam garam perkahwinan, Azmi sering menasihatkan anak-anaknya dan pasangan muda lain agar sentiasa bersikap jujur dengan pasangan.

"Selain itu jangan tinggal solat lima waktu dan sering solat malam serta berdoa kepada Allah supaya kurniakan kebaikan rumah tangga.

"Walaupun gaya hidup manusia sentiasa berubah mengikut teknologi tapi kita mesti kawal dan disiplinkan diri mengikut ajaran agama Islam kerana kehidupan dunia hanya sementara semua itu adalah ujian daripada Allah," katanya.

- UTUSAN -

No comments:

SEDIAKAN HIBAH TAKAFUL ATAU TUNAI SEGERA SEHINGGA RM500,000 KEPADA YANG TERSAYANG

HANYA RM100 SEBULAN UNTUK PAMPASAN MINIMA RM350,000 DAN BERGANDA UNTUK KELUARGA ANDA.. Risiko ada dimana-mana. Tidak kira tua ataupun muda. ...