Oleh Nur Adika BujangKOTA KINABALU, Sept 14 (Bernama) -- Sehingga tahun lepas 16 Sept,  tanggal kelahiran Malaysia, merupakan cuti umum bagi penduduk Sabah dan  Sarawak sahaja.
Lagipun, di Sabah tarikh itu tidak meraikan hari penubuhan Malaysia  secara langsung sebaliknya ia diraikan sebagai harijadi rasmi Yang  Dipertua Negeri dengan acara perbarisan dan pengurniaan pingat di Istana  Negeri.
Dan tidak ramai yang menyedari bahawa sambutan harijadi Yang Dipertua  Negeri ini bertujuan memperakui penyatuan Sabah dalam gagasan Malaysia  bersama Malaya dan Sarawak.
Tetapi semua itu berubah Oktober lepas apabila Perdana Menteri Datuk  Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa cuti umum pada 16 Sept akan  dilanjutkan kepada Semenanjung dengan tarikh itu diraikan sebagai Hari  Malaysia bermula tahun ini.
Najib berpendapat cuti itu adalah selaras dengan semangat 1Malaysia  untuk menjalin perpaduan di kalangan pelbagai kaum, termasuk memperkukuh  integrasi nasional antara rakyat di Semenanjung, dan mereka di Sabah  dan Sarawak.
SABAH TUAN RUMAH SAMBUTAN JULUNG KALIAdalah rasional sekiranya sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan  yang julung kali, diadakan sama ada di Sabah atau Sarawak.
Malahan tempat yang paling sesuai untuk sambutan itu adalah tidak lain  di Padang Merdeka di Sabah, tempat bersejarah di mana Hari Malaysia  diisytiharkan pada 47 tahun yang lepas.
Di tempat itu jugalah di Kota Kinabalu, dulunya dikenali sebagai  Jesselton, bermulanya di mana Ketua Menteri Sabah yang pertama Tun Fuad  Stephens membuat pengisytiharan pembentukan gagasan Malaysia pada 16  Sept, 1963. Tun Mustapha Harun menjadi pemimpin pertama Sabah.
Selepas Sabah, pengerusi bersama penganjur sambutan, Menteri  Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun dan  Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph  Salang Gandum, berpendapat adalah adil jika sambutan Hari Malaysia tahun  depan diadakan pula di Sarawak sebagaimana signifikasi Sabah dalam  gagasan Malaysia.
Masidi berkata, sambutan itu yang dijangka dirasmikan oleh Perdana  Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, akan digunakan sebagai platform  untuk mendidik orang ramai terutama generasi muda, mengenai pembentukan  Malaysia dan perbezaan antara tarikh 16 Sept dan 31 Ogos (Hari  Kemerdekaan), menerusi pameran oleh Arkib Negara dan negeri serta  muzium.
Walaupun gagasan Malaysia dibentuk pada 1963, masih ramai sama ada di  Semenanjung atau Malaysia Timur masih tidak memahami bagaimana ia  terbentuk.
Membawa tema "Menjana Transformasi" sejajar dengan aspirasi kerajaan  untuk menggalakkan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik dan cekap,  kami juga berharap sambutan peringkat kebangsaan ini akan dapat mengubah  minda orang ramai agar mereka lebih menghargai negara ini di samping  membina semangat berpasukan dan perpaduan, katanya.
Masidi juga berkata, sambutan itu juga boleh mengingatkan orang ramai  di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bahawa mereka adalah sama di bawah  satu gagasan.
MENGIKTIRAF SABAH DAN SARAWAKMohamed Nazim Maduarin, 30, berkata langkah kerajaan mengisytiharkan   16 Sept sebagai cuti umum bagi seluruh negara kena pada tempatnya kerana  tidak ramai warga Malaysia sedar akan pentingnya tanggal itu dalam  sejarah negara.
Peguam daripada masyarakat Bajau ini memberitahu Bernama dengan  meraikan Hari Malaysia, penduduk Semenanjung, Sabah dan Sarawak bukan  sahaja dapat memperingati tarikh kelahiran Malaysia tetapi juga dapat  menghargai konsep Malaysia itu sendiri.
Turut bersetuju dengan Mohamed Nazim, Pengurus Komunikasi dan Kawalan  Mutu  Shanti Doraisingam, 37, berkata langkah itu mengingatkan rakyat  yang Sabah dan Sarawak juga adalah sebahagian daripada Malaysia.
"Semua ingat Semenanjung mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos, sementara   Sabah dan Sarawak mendapat kemerdekaan pada 16 Sept.
"Jika Sabah dan Sarawak sahaja yang bercuti pada 16 Sept, ia bagaikan  kedua-dua negeri itu bukan sebahagian daripada Malaysia," kata beliau.
Shanti, darah kacukan India-Cina, berkata ia juga menunjukkan perdana  menteri menepati janjinya untuk menyatukan rakyat dan langkah  mengisytiharkan 16 Sept sebagai cuti seluruh negara membayangkan  semangat sebenar 1Malaysia.
"Saya harap tiada lagi jurang antara Semenanjung dan Sabah dan  Sarawak," tambah beliau.
CUTI UMUM SUMBANG KEPADA EKONOMISementara itu, Lam Chee Wah, 36, pemilik bersama Fook Yuen, sebuah  kedai kopi popular di Kota Kinabalu, berkata satu lagi cuti umum  bermakna perniagaan baik baginya.
"Apabila penduduk mempunyai masa untuk diluangkan, mereka boleh  beristirehat atau rakan-rakan dari Semenanjung boleh menghabiskan cuti  di sini.
"Mereka boleh nikmati cara hidup di Sabah, yang mewakili cara hidup di  Malaysia di mana sehinggakan di kedai-kedai kopi milik bukan Islam pun  orang Melayu boleh dilihat duduk bersama rakan-rakan Cina atau Kadazan  menikmati teh tarik dan roti bakar," kata beliau.
Lam berkata tahap penerimaan di kalangan penduduk Sabah adalah sangat  tinggi sehinggakan seorang umat Islam sanggup membeli minuman dalam tin  di restoran bukan halal hanya untuk berbual dengan rakan-rakan bukan  Islam.
"Banyak restoran bukan Islam di sini berusaha memenuhi citarasa  pelanggan Islam, khasnya mereka dari Semenanjung yang mencari  kedai-kedai makan bersijil halal," tambah beliau.
Lam berkata kedai kopi beliau kelihatan seperti kedai kopi bukan halal  lazim kerana nama Cina padanya, tetapi ia tetap popular di kalangan umat  Islam kerana ia tidak menghidangkan daging babi.
Sekarang, kedai kopi itu mempunyai persijilan halal daripada Jabatan  Kemajuan Islam (JAKIM) dan satu paparan LED yang besar dengan logo halal  JAKIM dalam kedai itu memberi jaminan kepada masyarakat Islam akan  makanan halal dan khidmat pada harga berpatutan di Fook Yuen, katanya.
-- BERNAMA